PANDU UJI: Suzuki Swift Sport imej biasa, prestasi penuh teruja – layak jadi hot hatch paling kompetitif?

Pada tahun 2016, Suzuki Malaysia Automobile yang memasang hatchback segmen-B Suzuki Swift di kilang Hicom Automotive Manufacturers Pekan, Pahang telah menutup operasinya setelah menandatangani MoU bersama Proton dan DRB-Hicom. Sejak itu, Suzuki sudah tidak lagi beroperasi di negara ini dan kesemua pusat 3S/4S Suzuki telah diambilalih sepenuhnya oleh Proton.

Namun pada April 2021, jenama Jepun berkenaan kembali ke pasaran Malaysia dan diuruskan oleh Naza Eastern Motors. Dengan Kerjasama baharu itu, Suzuki telah melancarkan model yang agak high end iaitu Suzuki Swift Sport generasi ketiga pada bulan yang sama dan Suzuki Jimny pula tiba di sini pada September lalu.

Kehadiran semula Swift Sport ZC33S ke pasaran Malaysia bagai memberikan peluang kepada penggemar jentera ini untuk memilikinya. Walau pun sedari dulu, ia tidaklah begitu popular, namun ada keistimewaan model ini masih menjadi dambaan. Terutamanya, ia ditawarkan dengan harga yang masih pada tahap mampu milik. Swift Sport yang diimport sepenuhnya dari Jepun ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM139,900 termasuk pengecualian SST 50% untuk kereta CBU (sehingga hujung Jun 2022). Ia didatangkan dengan waranti pengeluar selama tiga-tahun/100,000 km.

Selain itu, prestasi penjana kuasa hatchback ini juga adalah keistimewaan utamanya. Namun kini ia tidak lagi dipacukan oleh enjin M16A 1.6 liter NA generasi terdahulu. Sebaliknya, Suzuki membawakan enjin yang lebih power iaitu K14C 1.4 liter turbo Boosterjet yang disifatkan sebagai “membawa Swift Sport ke wilayah hot-hatch sebenar.”

Setakat membaca risalah spesifikasinya, memang tidak dapat merasai kehebatan prestasi yang diuar-uarkan. Maka, baru-baru ini, kami bersempatan mengujinya. Adakah ia tepat seperti apa yang dicanang atau pun sekadar biasa-biasa saja?

Sebaik sahaja ‘bertentangan mata’ dengan hatchback ini, kenalah belek dahulu bahagian luaran dan dalamannya. Bagi luarannya, ia masih menampakkan sisi yang agak sporty walau pun tidaklah berlebihan. Swift untuk pasaran Malaysia diberikan lampu hadapan automatik dengan projektor LED, lampu kabus hadapan halogen, kemasan seakan karbon pada spoiler bampar hadapan, skirt sisi dan diffuser bampar belakang, pembuka but belakang elektromagnetik, tip ekzos berkembar kemasan krom dan juga rim aloi 16-inci dengan tayar Yokohama Advan A13 195/50R16.

Menjengah bahagian kabinnya pula, ia dipadankan dengan tempat duduk separa bucket dan roda stereng rata di bawah dengan upholsteri kulit dan serlahan benang merah, kemasan-kemasan serlahan merah-hitam pada panel pintu dan papan pemuka, serta set pedal aluminium. Kelihatan agak sporty pada bahagian kokpitnya dengan kemasan serlahan merah-hitam. Namun bentangan panel lain masih biasa dan tiada sifat daya penarik yang begitu menyerlah.

Selain itu, ia turut diberikan cruise control, tuil brek tangan manual, panel instrumen analog dengan takometer latar belakang merah, skrin MID di tengah yang turut memaparkan bacaan boost turbo dan daya G-Force, butang penghidup enjin dan juga sistem pendingin hawa automatik.

Manakala untuk infotainmen, Swift Sport pasaran Malaysia ini menerima pemain utama Touchscreen Media dengan skrin tujuh-inci bersama fungsi arahan suara dan hubungan Apple CarPlay, serta enam pembesar suara. Tidak banyak perkara menarik yang boleh dikongsikan tentang rekaan dan penampilan bahagian luaran serta dalaman Swift baharu ini. Mungkin juga Suzuki lebih menumpukan olahan bahagian mekanikal untuk membuatkan Swift baharu ini lebih padu.

Seperti yang dikhabarkan di atas, Suzuki telah memberikan Swift enjin yang lebih padu iaitu K14C 1.4 liter turbo Boosterjet yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 140 hp pada 5,500 rpm dan tork maksima 230 Nm bermula 2,500 hingga 3,500 rpm. Peningkatan kuasa kuda mungkin sedikit dengan hanya enam hp lebih kuat berbanding enjin NA generasi terdahulu (134 hp), namun ia menerima lonjakan tork yang agak drastik iaitu 70 Nm lebih tinggi dari sebelum ini.

Buktinya, ketika Swift ini dilenjan, muntahan kuasanya memang tidak kedekut dan tidak lembap. Ia memang pantas meledakkan adrenalin untuk terus memijak pendikit sepenuhnya apabila situasi di jalan raya mengizinkan. Dengan kotak gear kotak gear autmatik enam-kelajuan, gandingannya dengan enjin ini memang boleh dikatakan seiring sejalan. Tapi pasti lebih padu kalau ada pilihan kotak gear manual seperti mana yang pernah ditawarkan pada model terdahulu. Pasti lebih padu.

Kuasa turbo yang ada padanya memang setara dengan tenaganya walau pun dengan padanan kapasiti enjin 1.4 liter. Jika anda sekadar, bermain dengan pedal pendikit tanpa kenderaan dipacu, ngauman enjinnya sudah cukup membuatkan anda teruja untuk melenjannya.

Ketika melenjannya, jika inginkan keseronokan pengendalian, pilihan mod manual boleh dipilih dengan kawalan pedal gear di belakang stereng. Suatu kenyataan yang disifatkan cliché untuk pemilihan mod manual; bukan setakat ia memberikan pengendalian yang lebih menyeronokkan, bahkan ledakan prestasinya bagai berada dalam kawalan anda 100%.



Deruman enjinnya seakan mencabar penguasaan pemanduan untuk memijak lebih pedal minyak jika keadaan jalan mengizinkan. Malah tidak dinafikan, jentera ini mampu memacu lancar sehingga berupaya memotong beberapa kenderaan lain yang lebih besar kapasiti enjinnya. Swift ini mampu dipecut dari 0-100 km/j dalam masa 8.0 saat dan berkeupayaan mencecah kelajuan maksimum sehingga 205 km/j. Manakala penggunaan bahan apinya didakwa sekitar 6.1 liter untuk setiap 100 km.

Bukan itu sahaja, kerangkanya yang comel juga memudahkan pemandu untuk membuat pusingan-U atau pun mencelah-celah di antara kenderaan lain terutamanya jika berlaku kesesakan lalu lintas. Ia berukuran 3,890 mm panjang, 1.735 mm lebar, 1,495 mm tinggi dan jarak roda pula 2,450 mm.

Malah olengan badannya kurang dirasai biar pun bersaiz kecil. Ia tetap stabil ketika meluncur laju. Jika melalui permukaan jalan yang beralun, kesan hentakannya juga kurang dirasai. Pastinya dengan penggunaan sistem suspensi yang bersesuaian dengan jentera ini iaitu MacPherson Strut di bahagian hadapan serta Torsion Beam untuk belakang. Ia dipadankan dengan penyambung bar penstabil yang lebih besar serta diberikan cagak penstabil dari material Teflon. Manakala hab roda dan hab galas (bearing) kereta ini pula kini direka sebagai satu unit komponen.



Bagi meningkat ketegaran sudut kamber semasa mengambil selekoh pada kadar 15%, bahagian berkenaan diberikan jarak antara galas yang lebih lebar. Rombakan semula ini membantu memberikan lebih kekerasan pada suspensi tanpa meningkatkan kadar spring mahupun bar penstabil hadapan.

Untuk bahagian belakang, talaan difokuskan untuk mendapatkan kestabilan pada kelajuan tinggi dan ini dilakukan dengan meningkatkan kekuatan sudut Toe yang 1.4 lebih tegar dari model sebelumnya, begitu juga pada kekuatan kamber. Swift Sport menerima trailing arm baharu yang direka bagi mengurangkan perubahan semasa mengambil selekoh, dan ia turut disokong dengan penggunaan penyerap hentak Monroe bagi memberikan daya olengan yang lebih minima.

Bukan itu sahaja, platform Heartect ini juga membolehkan Swift Sport generasi baharu ini dihasilkan 80 kg lebih ringan dari model sebelumnya dengan berat hanya 970 kg. Ini membolehkan Swift Sport baharu ini mencapai nisbah tork kepada berat sekitar 4.2 kg/Nm.



Kawalan stereng juga membantu, tidak liar terutamanya jika jentera dipandu dalam kelajuan tinggi. Selain itu, penggunaan tayar Yokohama Advan A13C yang berukuran 195/50R 16 memiliki prestasi yang optima dalam keadaan jalan basah mahu pun kering. Namun bila jentera mencapai kelajuan 120 km/j dan ke atas, bunyi seretan tayar makin menembusi kabin, ditambah pula dengan bunyi angin dari luar.

Bagi sistem keselamatan pula, Suzuki Swift Sport dibekalkan dengan enam beg-udara, cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix, penderia parkir belakang, Hill Hold Assist, sistem brek ABS, EBD dan EBA, serta Program Kestabilan Elektronik (ESP).

Dengan harga yang ditetapkan iaitu hampir RM140,000 tanpa insurans tetapi dengan potongan 50% cukai jualan, adakah ia bakal membuatkan Swift baharu ini berkeupaya menjadi hot hatch paling kompetitif dalam pasaran seperti mana yang didakwa oleh Suzuki? Untungnya buat masa ini Swift Sport bagaikan tiada model pesaing yang paling setara dengannya. Jika nak dibandingkan dengan Renault Clio atau VW Golf, jauh sangat kedudukan kedua-dua model berkenaan dengan Swift Sport.

Jika anda seorang yang tidak begitu memandang paras rupanya, atau ciri kelengkapan luaran serta dalaman yang diberi, tetapi lebih inginkan kuasa prestasi yang disertakan, mungkin Swift baharu ini wajar diletakkan dalam senarai pilihan.





















































































The post PANDU UJI: Suzuki Swift Sport imej biasa, prestasi penuh teruja – layak jadi hot hatch paling kompetitif? appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Paul Tan’s Automotive News Read More