PDRM siasat pemandu S’pura pandu Tesla 3 secara bebas-tangan sepanjang perjalanan ke Pulau Pinang

Selepas pembukaan pintu masuk sempadan sejak 1 April lalu, pelbagai kisah yang tular di laman media sosial berhubung dengan warga jiran kita, Singapura, yang masuk ke negara kita. Bukan setakat mengisi minyak petrol RON 95 dan memandu secara melulu di jalan raya di Malaysia, ini ada satu lagi kisah yang dilakukan oleh warga mereka. Ada seorang pemandu warga Singapura telah berkongsi pengalamannya memandu model Tesla 3 ke Pulau Pinang dengan menggunakan sistem bantuan pemanduan automatik atau Autopilot.

Dia telah berkongsi pengalaman sepanjang perjalanan ke utara itu menerusi platform media sosial TikTok dan ia mendapat perhatian ramai termasuklah Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Ekoran perbuatan tersebut, Ketua Penolong Pengarah Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Superintendan Dr Bakri Zainal Abidin telah mengeluarkan kenyataan bahawa adalah dilarang untuk menggunakan sistem pemanduan sendiri seperti ini di Malaysia. Malahan pihaknya juga akan membuka kertas siasatan berhubung perkara tersebut, laporan Guang Ming Daily.

Beliau menjelaskan walau pun Malaysia tidak menggubal peraturan berkaitan sistem bantuan pemanduan automatik, namun menurut yang termaktub di bawah Akta Trafik Darat 1959 mengatakan bahawa pemandu perlulah memandu dengan baik, berhati-hati dan menumpukan perhatian. Apa yang dilakukan oleh pemandu Tesla 3 terbabit adalah membiarkan sistem Autopilot berkenaan mengawal sendiri pemanduan. Dan ini suatu kesalahan dan melanggar ordinan tersebut kerana sepatutnya pemandu perlulah sentiasa mengawal sendiri pergerakan stereng.

“Polis percaya bahawa walau pun buat masa ini tiada undang-undang di Malaysia yang melarang pemanduan bantuan sendiri, namun sistem tersebut bukan sahaja tidak dapat mengekalkan perhatian pemandu, malahan juga tidak dapat mengesan sama ada terdapat pemandu di dalam kereta; pemandu mungkin kurang melihat keadaan jalan raya, tetapi lebih memberi perhatian kepada sistem berkenaan. Untuk perkara lain yang tiada kaitan, seperti penggunaan telefon pintar sewaktu memandu. Oleh itu, penggunaan sistem pemanduan automatik semasa memandu masih dilarang di negara kita,” jelas beliau.

Tambah beliau, walau pun semua kenderaan pada masa hadapan dilengkapi dengan fungsi bantuan pemanduan automatik sebegini, namun pemandu haruslah sentiasa memberi perhatian dan peka dengan keadaan jalan raya. Ini kerana sekiranya sistem berkenaan gagal mengesan sebarang bahaya, pemandu boleh bertindak balas tepat pada masanya untuk mengelakkan kemalangan daripada berlaku.

“Walaupun sebagai sebuah negara yang menjalankan penyelidikan dan pembangunan berkaitan sistem bantuan pemanduan automatik ini, Amerika Syarikat masih menetapkan larangan menggunakannya di kebanyakan negerinya. Dan laporan penyelidikan terkini daripada Institut Teknologi Massachusetts (MIT) menunjukkan bahawa penggunaan fungsi bantuan pemanduan automatik ini boleh menyebabkan pemandu lalai dan tidak peka dengan keadaan jalan raya,”ujarnya lagi.

The post PDRM siasat pemandu S’pura pandu Tesla 3 secara bebas-tangan sepanjang perjalanan ke Pulau Pinang appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Source: Paul Tan’s Automotive News Read More