smart #1 didedah – SUV EV binaan Geely, akan dijual oleh Proton Edar di M’sia, 272 PS, jarak gerak 440 km

Akhirnya, model kelahiran semula untuk jenama kereta kompak smart kini sudahpun didedahkan secara rasmi. Seperti yang dilaporkan sebelum ini, model tersebut diberi nama smart #1 dan kemunculan sulungnya telah pun dibuat di Berlin, Jerman.

smart yang sebelum ini milik Daimler AG, kini merupakan jenama yang akan menghasilkan kereta elektrik sepenuhnya (EV) selepas ia secara rasmi menjalinkan kerjasama dengan gergasi automotif China iaitu Geely. Model pertama hasil kerjasama berkenaan, iaitu crossover smart #1 ini masih direka oleh Mercedes-Benz, tetapi pembangunan dibuat oleh Geely termasuk menggunakan platform modular khas untuk kereta elektrik Sustainable Electric Architecture (SEA) Geely, serta akan diproduksi oleh Geely di fasiliti baharu yang terletak di China.

Seperti yang terdedah menerusi imej paten sebelumnya, model produksi smart #1 ini menampilkan rupa yang hampir sama seperti model konsep smart Concept #1 yang muncul di Munich tahun lalu dengan mengekalkan bentuk badan keseluruhan yang direka seperti gula-gula jelly bean.

Perincian lain yang dibawa dari model konsep termasuk rekaan lampu hadapan dan belakang LED yang merentangi keseluruhan lebarnya, liang udara bawah hadapan berbentuk trapezoid, kemasan skid plate di bawah bampar hadapan dan belakang, pembuka pintu yang tenggelam, bumbung panaromik, tiang-C yang tebal dan kesemua pintu dengan cermin tingkap tanpa bingkai.

Apa yang berbeza, terdapat liang udara tambahan pada sisi bampar hadapan, dan pintu direka normal tanpa konfigurasi suicide door pada model Concept #1. Model produksi ini juga diberikan rim dengan permukaan rata bersaiz lebih kecil iaitu 19-inci berbanding 21-inci pada versi konsep, bersama penutup gril aktif yang membolehkan SUV ini mencapai pekali seretan serendah 0.29.

Secara spesifiknya, smart #1 dihasilkan dengan platform SEA dengan dimensi 4,270 mm panjang, 1,822 mm lebar, 1,636 mm tinggi bersama jarak roda sejauh 2,750 mm. Jadi smart #1 sebenarnya adalah SUV dalam segmen B dengan panjang keseluruhan 60 mm lebih pendek tetapi dengan jarak roda 150 mm lebih jauh berbanding Proton X50.

smart #1 ini digerakkan dengan hanya sebuah motor berkuasa 272 ps (200 kW) dan tork maksima 343 Nm, yang hanya memacu roda belakang, membolehkan ia dipandu sehingga kelajuan maksima 180 km/j. Motor tersebut menerima bekalan kuasa elektrik menerusi bateri lithium-ion berkapasiti 66 kWj, membolehkan ia bergerak sejauh 420-440 km dalam kitaran ujian WLTP.

Dengan pengecas AC 22-kW, bateri kereta ini boleh dipenuhkan dari 10% hingga 80% dalam masa 3.5 jam. Manakala dengan pengecas pantas DC 150 kW pula jumlah cas yang sama boleh dicapai dalam masa hanya 30 minit. Teknologi yang ada pada smart #1 ini juga membolehkan 75% dari kotak komputernya menerima kemaskini secara over-the-air, membolehkan sistemnya ditambah baik dari masa ke masa.

Bahagian dalaman smart #1 ini juga menerima rekaan yang seiras dengan versi Concept #1. Ia direka secara minalis, menampilkan papan pemuka ringkas yang bersambung dengan konsol terowong yang agak tinggi tanpa suis-suis kawalan fizikal. Paparan instrumen digital untuk pemandu direka nipis bersaiz 9.2-inci, dibantu dengan paparan head-up bersaiz 10-inci.

Manakala skrin sesentuh untuk sistem infotainmen yang besar bersaiz 12.8-inci diletak berdiri sendiri pada bahagian tengah papan pemuka. Skrin berkenaan menampilkan antara muka dengan gaya-globe, dan diberikan bersama avatar berbentuk musang. Kawalan sistem pendingin hawa turut diletak di dalam skrin berkenaan membolehkan papan pemuka ini ‘bersih’ dari sebarang suis fizikal. smart #1 ini turut ditawarkan dengan sistem bunyi Beats dengan 13-pembesar suara.

But belakang SUV ini menyediakan ruang kargo dengan kapasiti 273 liter. Tetapi sekiranya tempat duduk belakang dilipat, ruang tersebut meningkat kepada 411 liter. Ia turut diberikan ruang simpanan tambahan pada but hadapan kerana tiada enjin pada bahagian tersebut, tetapi ia agak kecil dengan hanya 15 liter.

Untuk keselamatan pula, smart #1 dilengkapkan dengan tujuh beg udara serta sistem bantuan pemanduan penuh termasuk brek kecemasan automatik, cruise control adaptif dengan fungsi stop&go, bantuan kekal tengah lorong, bantuan tukar lorong serta pemantau titik buta.



Ia turut akan diperkenalkan dalam versi Launch Edition yang hanya dihasilkan sebanyak 1,000 unit. Model ini diberikan motif chequered pada rim, cermin bumbung, upholsteri putih yang unik serta serlahan-serlahan emas pada bahagian luaran dan dalaman seperti pada Concept #1.

Seperti yang diumumkan sebelum ini, smart #1 sah akan dilancarkan di Malaysia untuk mengambil manfaat atas pengecualian cukai keatas model EV CBU (diimport sepenuhnya) yang telah diumumkan oleh kerajaan sebelum ini. Namun smart bukan lagi akan dijual oleh pengedar Mercedes-Benz seperti sebelum ini, sebaliknya ia akan dijual oleh Proton Edar untuk pasaran tempatan.

Proton Edar bukan hanya menjual smart #1 ini di Malaysia, malah turut diberikan hak untuk memasarkan jenama smart berkenaan di pasaran Thailand. Ini bukan sahaja membolehkan Proton belajar dan bersedia untuk menjual dan menyediakan khidmat selepas jualan untuk model-model elektrik penuh sebelum menghasilkan EV dengan jenamanya sendiri kelak, malah turut akan membantu jenama automotif Malaysia berkenaan untuk kembali bertapak di Thailand.







































The post smart #1 didedah – SUV EV binaan Geely, akan dijual oleh Proton Edar di M’sia, 272 PS, jarak gerak 440 km appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Source: Paul Tan’s Automotive News Read More