Volkswagen Passat Elegance 2022 kini diberikan aloi Bonneville 18″, Android Auto tanpa wayar – RM184k

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah mengumumkan sedikit peningkatan untuk kelengkapan yang diberikan kepada Passat Elegance 2.0 TSI. Untuk model tahun 2022, sedan segmen-D ini diberikan set baharu roda aloi Bonneville 18-inci dua-tona, menggantikan unit aloi pelbagai-jejari Liverpool 18-inci yang digunakan pada model sebelum ini.

Selain itu, ia juga diberikan panel sentuhan baharu dengan maklumbalas haptic untuk sistem suhu tiga-zon Climatronic, yang mirip ditawarkan pada model Passat R-Line dan Arteon. Manakala unit utama Discover Pro 9.2-inci, yang sebelum ini hanya menyokong Apple CarPlay tanpa wayar, kini ia turut ditambah dengan Android Auto tanpa wayar.

Bukan itu sahaja, ia juga kini ditampilkan dengan lencana VW baharu (dengan huruf yang lebih nipis), dan termasuk pada lencana pada roda stereng. Walau bagaimana pun, dengan adanya ciri yang dipertingkatkan ini, harganya juga naik sedikit. Kini Passat Elegance 2.0 TSI berharga RM183,680 (termasuk pengecualian SST), naik sebanyak RM1,824 berbanding sebelum ini.

Lain-lain ciri masih dikekalkan, begitu juga dengan pilihan warna dan juga enjin 2.0 liter empat-silinder. Untuk Elegance, enjin ini mampu memberikan kuasa hingga 190 PS dan tork 320 Nm, dipadankan dengan transmisi dwi-klac DSG tujuh-kelajuan yang menyalurkan pacuan ke roda hadapan.

Walau bagaimana pun, model ini masih tidak didatangkan dengan brek kecemasan sendiri, tetapi dikekalkan dengan ciri sedia ada termasuk pemantauan titik buta Side Assist dengan kepekaan trafik lintasan belakang, sistem pemantauan titik buta, enam beg udara dan kawalan kestabilan.

The post Volkswagen Passat Elegance 2022 kini diberikan aloi Bonneville 18″, Android Auto tanpa wayar – RM184k appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Paul Tan’s Automotive News Read More