Volvo C40 2022 kini di Thailand – bermula RM353k, CBU China, 408 PS/660 Nm, jarak gerak EV 420 km

Setelah setahun didedahkan pada peringkat global, kembar SUV XC40 dengan rupa coupe iaitu crossover Volvo C40 telah tiba ke pasaran negara jiran kita, Thailand. Jika model-model lain seperti XC90 dan S60 di Thailand dibekalkan oleh kilang Volvo di Shah Alam, C40 yang dijana oleh kuasa elektrik sepenuhnya (EV) ini pula diimport sepenuhnya (CBU) dari China.

Model ini dijual pada harga 2.75 juta baht (RM353,260), atau 160,000 baht (RM20,553) lebih mahal dari XC40 Recharge (juga janaan elektrik penuh, berbanding model Recharge T5 yang masih menggunakan unit rangkaian kuasa plug-in hybrid) yang telah dilancarkan di sana Mac tahun lalu.

C40 ini turut menggunakan unit rangkaian kuasa elektrik sepenuhnya P8 AWD sama seperti XC40 Recharge. Ia menampilkan dua motor elektrik untuk setiap gandar bagi memacu roda hadapan dan belakang, dengan kuasa keseluruhan 408 PS (402 hp atau 300 kW) dan juga tork maksima 660 Nm. Ini membolehkan crossover tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.7 saat. Sama seperti model-model Volvo yang lain, kelajuan maksima model ini turut dihadkan hanya pada 180 km/j.

Motor-motor elektrik berkenaan menerima kuasa yang disimpan dalam bateri lithium-ion 78-kWj, membolehkan ia bergerak sejauh 420 km (kitaran ujian WLTP) dengan satu cas penuh. Bateri tersebut boleh dicas semula menerusi penghubung AC Type 2, yang memerlukan masa sekitar tujuh hingga lapan jam untuk dipenuhkan menggunakan palam tiga-fasa 11 kW.

Ia juga boleh dicas semula menggunakan sistem pengecas pantas DC yang menggunakan penghubung CCS. Sistem tersebut mampu menampung sehingga 150 kW, membolehkan ia dipenuhkan dari 10% hingga 80% dalam masa hanya sekitar 32 hingga 37 minit.

Selepas XC40 menerima versi facelift yang baru sahaja didedahkan di Eropah bulan lalu, model tersebut kini berkongsi muka hadapan yang sama dengan C40. Apa yang berbeza, C40 menampilkan garis bumbung yang lebih sporty dan landai kebelakang, bagi disesuaikan dengan imej Coupe yang dibawa. Perbezaan tersebut menjadikan C40 ini 70 mm lebih rendah (1,582 mm) berbanding XC40.



Rupa garis bumbung yang berbeza juga memerlukan bahagian dari tingkap sisi belakang C40 ini direka semula. Dengan pintu hatch yang lebih landai, C40 diberikan dua spoiler – satu pada bumbung dan satu lagi pada hujung bahagian but. Lampu belakang juga sudah tentu perlu dirombak bagi disesuaikan dengan bentuk baharu ini.

Perincian lain yang diberikan pada C40 ini dilihat sama seperti XC40 Recharge. Ia termasuk bumbng panaromik, paparan instrumen digital 12.3-inci, upholsteri tekstil, sistem pendingin hawa dua zon, sistem bunyi Harman Kardon dengan 13-pembesar suara, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh sembilan-inci yang dikuasakan oleh OS Android Automotive. Aspek keselamatan termasuk sistem bantuan pemanduan termaju antara kedua-dua model ini turut dilihat seiras.






















































The post Volvo C40 2022 kini di Thailand – bermula RM353k, CBU China, 408 PS/660 Nm, jarak gerak EV 420 km appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Paul Tan’s Automotive News Read More